Spice of My Life

Followers !

Halaman

Ahad, 11 Jun 2017

Ramadhan 17/17 : Nilai sebungkus keropok?


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Dalam diulit mimpi yang bakal menjelma, mata ini sangat berat untuk celik, mungkin terlalu penat ataupun tak cukup tidur, matanya dipaksa untuk terbuka luas


Oleh kerana sedang bekerja, matanya terpaksa terbuka bagi memastikan kerjanya berjalan seperti biasa dan tidak tergantung, rasa nak letak pencungkil gigi di mata

Tanpa diduga, datang seorang insan yang mukanya kelihatan agak kuyu, puasa agaknya, memikul dua kantung beg, apa isinya masih misteri, diketuk pintu pejabat insan yang menanti disorongkan bantal


Salam diberi, senyum diukir, langkah diatur, kaki kanan dihayun masuk ke dalam pejabat berpenghawa dingin, insan mengantuk tadi tiba-tiba segar matanya dek kehadiran insan misteri ini

Rupanya beg yang dikantung itu penuh dengan bungkusan keropok ikan siap digoreng, diterangkan keadaan tentang cahaya mata beliau yang cukup sadis

Masalah buah pinggang yang agak kronik dihidapi oleh cahaya mata comel itu, berselirat segala wayar, tak cukup di perut, dimulut juga disumbat, sedih melihatnya

Ditunjuknya keadaan gambar anak tidak berdosa itu, dalam keadaan yang cukup terseksa, dilajukan jari menyentuh telefon bimbit menyusuri album telefon beliau


Hasil pendapatan bekerja masih tidak cukup untuk menampung kos rawatan anaknya, jadi dengan hasil jualan keropok ikan RM 2 sebungkus diharapkan sedikit sebanyak membantu untuk menampung

Terkedu melihatkan keadaan itu, insan yang tadi mengantuk, terus mencapai laju sebungkus keropok ikan dan menghulurkan wang kertas tanda bayaran

Berlalulah pergi insan bernama ayah dengan menggalas tanggungjawab yang besar dengan harapan jualan keropok ikan itu laku dengan jayanya, ya Allah...


Begitulah kehidupan manusia dunia pancaroba sekarang, demi kelangsungan hidup hari demi hari, nilai wang ringgit itu agak besar walau dalam kiraan sen sekalipun, perit tak perit, itu kenyataan

Hargai hidupmu, usah terlalu selesa mendongak ke langit, sesekali tunduklah ke tanah, kerana setinggi mana pun roda berpusing, kadangkala di atas, kadangkala dibawah, bersyukurlah dengan setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah...

#kisahbenar #12jun2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan